Home
Main Menu
Home
Berita
Maklumat Syarikat
Produk Asas
Rider
Tahukah Anda???
Nak Jadi Wakalah?
Langkah Kejayaan
Objections
Idea Pemasaran
Mesti Baca
Hubungi Kami
Search
FAQs
Link
Administrator
Newsflash
Riba' - Lebihan atau penangguhan bayaran PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 15 March 2007

Oleh ZUARIDA MOHYIN


KEADAAN mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata : ``Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba.'' Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Al-Baqarah : 275) ................

 

Riba dari segi bahasa bermaksud lebihan atau pertambahan. Pun begitu fuqaha memberikan takrif riba dari segi istilahnya dalam pelbagai versi.

Pensyarah Jabatan Syariah dan Perundangan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Naziree Md. Yusof dalam hal ini memberitahu, Mazhab Hanafi mentakrifkan riba sebagai lebihan bayaran dalam pertukaran harta, menjadikan lebihan itu tanpa ada tukaran.

Sementara Mazhab Syafie pula, mentakrifkan riba sebagai satu kontrak pertukaran harta tertentu, yang tidak diketahui ada persamaan nilainya mengikut syarak, ketika kontrak diadakan atau berlakunya penangguhan penyerahan antara dua harta yang dikontrakkan atau salah satu daripadanya.

``Umpamanya, sepatutnya pertukaran beras itu berlaku dalam masa majlis akad tetapi ia berlaku berasingan. Jadi kebarangkalian terjadi atau wujudnya lebihan, besar kemungkinannya ada.

``Di sinilah keraguan itu wujud. Tambah pula, dalam hal penangguhan bayaran,'' jelas Naziree yang ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Terang beliau lagi, Mazhab Hanbali mentakrif riba sebagai ada kelebihan dalam pertukaran sesuatu atau ada penangguhan bayaran dalam pertukaran barang-barang tertentu.

Berdasarkan takrifan yang diberikan di atas, jelas Naziree, dapat difahami bahawa kontrak yang membawa kepada riba itu meliputi adanya lebihan salah satu harta dalam pertukaran yang dipanggil riba al-Fadhl (sepatutnya diberikan sekarang tetapi ditangguhkan) atau berlaku pembayaran lebih daripada hutang asal atau berlaku penangguhan serahan pertukaran salah satu pada barang yang tertentu seperti riba al-Yad (bercerai dari tempat akad sebelum timbang terima).

Kata Naziree lagi, Islam memandang serius masalah riba. Hukumnya adalah haram berdasarkan nas al-Quran, hadis dan ijma' fuqaha.

Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia menambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah di sisi Allah s.w.t. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t., maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya). (Ar-Rum: 39)

Di dalam ayat ini, Allah memberi peringatan bahawa amalan riba bukan satu pekerjaan yang baik di sisi Allah s.w.t.

Firman-Nya lagi bermaksud: Dan disebabkan mereka makan riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya dan kerana mereka memakan harta orang dengan jalan batil. Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka itu seksaan yang pedih.'' (Al-Nisa: 161)

tegahan

Ayat ini pula kata Naziree, merupakan satu lagi penegasan, bahawa amalan riba adalah sesuatu yang Allah tegah kepada orang Yahudi, dan secara tidak langsung ia akan membawa tegahan juga kepada umat Islam.

Kemudian Allah s.w.t. menurunkan pula ayat yang lebih keras lagi, iaitu dalam surah Ali Imran ayat 130 bermaksud: Hai orang yang beriman, janganlah kamu makan riba dengan berlipat ganda.

Ayat ini pula, jelas melarang amalan riba yang berlipat ganda iaitu penambahan yang diambil daripada modal asalnya.

Sekali lagi Allah s.w.t. menerangkan secara jelas tentang larangan-Nya terhadap penglibatan manusia dengan riba, sama ada sedikit atau banyak.

Firman-Nya bermaksud: Hai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada pengambilan riba), maka bagimu pokok harta; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya. (Al-Baqarah : 278-279)

Selain itu, Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Al-Baqarah : 275)

Terang Naziree, penurunan pensyariatan ini adalah secara berperingkat-peringkat. Ia sama dengan pengharaman Islam ke atas arak.

Pada zaman Jahiliah dulu, operasi riba berjalan seperti biasa atau ia adalah suatu amalan kebiasaan.

Namun segala yang berlaku sebelum itu (zaman Jahiliah) terpulang kepada Allah atau kita mengharapkan keampunan daripada Allah s.w.t.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda menjelaskan tentang pengharaman riba terhadap pertukaran, sama ada pertukaran dalam bentuk barangan atau wang.

Sabdanya yang bermaksud: Jual beli emas dengan emas, perak dengan perak, tamar dengan tamar, garam dengan garam, jagung dengan jagung. Sesiapa yang melebihkan salah satu atau meminta lebih maka dia melakukan riba, maka jual belilah emas dengan perak mengikut kehendak kamu dengan cara serah terima pada masa itu juga, dan jual belilah jagung dengan kurma mengikut kehendak kamu dengan cara serah terima pada masa itu juga. (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Sabda baginda lagi maksudnya: Allah melaknat orang yang memakan riba, wakilnya, saksinya dan pencatatnya. (Riwayat Muslim)

``Fuqaha sepakat mengharamkan riba. Orang Yahudi membuat penafsiran makan riba sesama mereka haram tetapi apabila beroperasi dengan bukan bangsa mereka, ia dibolehkan.

``Jelaslah di sini, kita dapati riba berlaku disebabkan pembayaran lebih kepada hutang dan harga barang kerana kelewatan bayaran selepas masanya sampai.

``Ia juga disebabkan lebihan berlaku pada salah satu barang dalam pertukaran dua barang yang jenisnya sama, dan riba boleh berlaku disebabkan penipuan keterlaluan terhadap harga barang,'' terang beliau.

Menyentuh kekeliruan serta keraguan yang masih wujud di kalangan umat Islam di Malaysia dengan ketelusan atau kesahihan cara pengendalian akaun perbankan Islam, yang ditawarkan oleh bank-bank konvensional, ujar Naziree dari segi akaun beliau difahamkan oleh segelintir pengamal bidang ini bahawa akaun kedua-duanya diasingkan.

Begitu juga dari segi bentuk operasi dan transaksi mereka yang berasaskan Islam. Ia dikawal secara langsung oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Malah panel-panel syariah juga telah dipastikan syarat-syaratnya mengikut ketentuan BNM.

Pada dasarnya tegas beliau, ia tidak boleh dipilih mengikut kesukaan atau kehendak bank-bank konvensional itu sendiri.

Pemilihan panel syariah bagi bank-bank tersebut mestilah yang diperakui oleh BNM.

``Bagi saya, mereka yang dahulunya berurusan dengan perbankan Islam tetapi kemudiannya bertukar kepada cara konvensional, dengan alasan mengurangkan bayaran bulanannya atau sebagainya, semacam menggunakan unsur perjudian.

`` Ini kerana dalam perbankan konvensional, kita tidak memastikan apa yang akan berlaku, sama ada ia mengikut apa yang kita jangka atau perkara sebaliknya akan berlaku.

``Berlainan dengan perbankan Islam, ia bersifat tetap. Keadaan ini, berkemungkinan ada pro dan kontranya tetapi di situ sudah pasti, tidak ada berlakunya penganiayaan,'' katanya hal ini melibatkan sikap dan cara pemikiran seseorang dalam perancangan jangka panjang.

Menurut Naziree, kini perbankan Islam lebih menjadi pilihan kepada orang bukan Islam berbanding umat Islam sendiri.

Ini kerana, kebanyakan ahli perniagaan bukan Islam sentiasa memerlukan pembiayaan wang dari mana-mana institusi kewangan.

``Kebiasaannya sebelum ini, mereka terbeban faedah yang banyak. Tetapi, apabila adanya alternatif yang tidak membebankan mereka dengan segala faedah tersebut, ia menjadi satu keuntungan atau bonus kepada mereka.

``Sebab itulah, kini semakin ramai orang yang bukan Islam menyertai perbankan Islam. Kenyataan ini tercatat di dalam laporan BNM beberapa tahun yang lalu.

``Ini menjelaskan bahawa perbankan Islam banyak memberikan kelonggaran dan keringanan kepada mereka. Contohnya, kelewatan bayaran hanya dikenakan satu peratus sahaja berbanding bank-bank konvensional. Malah kadar ini telah ditetapkan oleh BNM,'' kata Naziree.

Last Updated ( Friday, 16 March 2007 )
 
< Prev   Next >
Al Quran
Al Baqarah
Al Imraan 170
Hadis
Login Form





Lost Password?
No account yet? Register
Who's Online
We have 1 guest online